Thursday, November 13, 2008

...dan Nazri meminta maaf kerana terlanjur...

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan dan mengakui keenam-enam hakim yang menerima bayaran ex-gratia sebenarnya dipecat.

"Saya kesal dengan kenyataan saya di Parlimen kerana membuatnya tanpa berdasarkan fakta yang cukup...saya katakan 'mereka mungkin dipecat'.

"Itu tidak benar sebenarnya. Saya faham mereka tidak dipecat kerana mereka menerima pencen sejak 20 tahun yang lalu," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada 6 November lalu, Nazri ketika mengumumkan pembayaran exgratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, berkata bekas-bekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel.

Hal itu menyebabkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada 10 November lalu meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar.

Nazri menjelaskan kekeliruan itu berlaku kerana perkara tersebut tidak seperti kebiasaannya.

Keputusan sama ada Nazri perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa memberi kenyataan tidak benar itu kepada dewan, akan diketahui minggu hadapan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata, beliau perlu menyemak semua butiran kerana perkara itu melibatkan banyak implikasi.

No comments: